Dua hari yang lepas saya ada menyebut tentang satu nama ini dalam entri saya, Alif. Saya rasanya khalayak pembaca dan pelukis tentu tidak asing lagi dengan nama ini sejak-sejak akhir ini. Beliau tidaklah sepopular Siti Nurhaliza atau Mawi , tetapi amat meminati lagu-lagu Siti dan rambutnya sewaktu saya berjumpa dengan beliau pada tahun 2003, rambut Alif mendahului Mawi, sebabnya Mawi belum lagi memasuki pertandingan AF. Petang kelmarin, saya sempat mencapai Megi Itik dan Untuk Shampoo dan membelek-beleknya lagi sambil duduk memerhati anak-anak kucing saya di dalam sangkar. Terlintas di hati saya untuk mengimbas kartun-kartun stripnya yang bertajuk Budak, Big Ugly dan sebagainya. Alif, amat meminati Matt Groening, C.W. Kee selain guru kartunnya Allahyarham Rejabhad.
Hari ini Berita Harian telah menyingkap disebalik tabir saudara Alif, seorang anak muda yang peka terhadap dunia sekitarnya yang digarap melalui pengalaman masa lalu di dalam novel dan kartun stripnya. Kini beliau merupakan penulis muda yang tekun menghasilkan kedua-dua bidang yang amat diminatinya. Untuk itu marilah kita ikuti temubual wartawan Berita Harian, Siti Nursuhada Masri dengan Alif.
Bicara Pengarang: Dunia nomik Alif Firdaus Azis
Bagaimanakah Alif Firdaus Azis boleh berkecimpung dalam dunia penulisan?
Saya sebenarnya seorang pelukis dan bermula dengan melukis kartun untuk komik. Pembabitan saya dalam bidang penulisan adalah secara tidak langsung. Saya menerima dorongan daripada seorang rakan yang kebetulan sedang mencari pelukis untuk kulit depan bukunya. Saya mengikuti rakan saya itu menghadiri bengkel penulisan. Bermula dari bengkel terbabit, timbul minat untuk menulis. Selain daripada bengkel penulisan terbabit, apakah Alif ada mengikuti bengkel lain bagi memahirkan diri dalam bidang ini? Selain daripada bengkel terbabit, saya sudah menimba pengetahuan dalam dunia penulisan ketika di alam persekolahan. Ketika di Tingkatan Satu hingga Tingkat Tiga, saya ada mengikuti bengkel melukis kartun. Daripada bengkel terbabit, saya didedahkan dengan cara melukis kartun untuk sesebuah cerita. Bengkel terbabit lebih menekankan penyampaian cerita. Dalam lukisan kartun, cerita disampaikan secara visual manakala dalam penulisan, kisah disampaikan secara naratif. Berapa lamakah masa yang diambil oleh Alif untuk menghasilkan sesebuah buku? Tidak tentu. Penghasilan sesebuah buku bergantung kepada jalan ceritanya. Sekiranya membabitkan penyelidikan dan memerlukan banyak imaginasi, ia akan mengambil masa agak lama tetapi sebaliknya, jika berdasarkan pengalaman sendiri. Siapakah idola Alif dalam dalam dunia penulisan? Zaman persekolahan saya gemar membaca novel Ahadiat Akashah. Kini, saya gemar membaca karya JK Rowling iaitu Harry Potter. Saya mengagumi cara pengolahan jalan cerita dan idea pengarang terbabit. Semangat beliau untuk berjaya menjadi inspirasi kepada saya. Beliau gigih untuk berjaya dengan menghantar karyanya dari satu penerbitan ke satu penerbitan. Walaupun karyanya ditolak, beliau tidak berputus asa. Berbanding dengan beliau, cabaran yang saya hadapi terlalu jauh berbeza. Selain daripada Alif, siapakah lagi ahli keluarga yang turut terbabit dalam dunia penulisan? Hanya saya seorang terbabit dalam dunia penulisan. Saya hanya menyedari bakat saya dalam dunia penulisan secara kebetulan iaitu selepas mengikuti bengkel penulisan. Bermula dari bengkel berkenaan, saya terdorong untuk terus berkarya. Apakah karya sulung Alif dan bagaimana mendapat ilham? Karya saya yang pertama adalah kartun strip tiga petak yang dimuatkan dalam majalah Gila-Gila terbitan 1 Januari 1999 manakala novel pertama saya adalah Untuk Syampoo terbitan PTS Publications & Distributions Sdn Bhd. Saya mendapat ilham menghasilkan novel itu selepas pulang dari bengkel penulisan dan catatan diari saya diolah menjadi nomik. Saya mendapat tunjuk ajar daripada pengurus PTS, Ainon Mohd. Ainon memberi panduan agar mengolah pengalaman diri menjadi cerita yang menarik. Untuk Syampoo mengisahkan budaya hidup pelajar di asrama. Novel ini menampilkan watak Alif yang lari daripada alam persekolahan biasa dan masuk ke asrama serta tidak berminat dalam bahasa Inggeris. Di asrama, Alif meminati pelajar kacukan Inggeris Melayu yang digelar Syampoo. Alif yang ingin lari daripada bahasa Inggeris, akhirnya bertambah dekat dengan bahasa berkenaan semata-mata untuk memikat Syampoo. Secara keseluruhan dapat dilihat melalui ketiga-tiga novel Alif ini, remaja menjadi sasaran. Mengapa? Sebenarnya, ketiga-tiga tulisan saya itu berdasarkan idea yang diperoleh pada waktu itu. Saya tidak pernah mengkhususkan karya saya untuk khalayak tertentu. Biasanya editor yang menerima karya akan menentukan genrenya. Mungkin faktor jiwa yang menyebabkan saya hampir kepada remaja selain pengalaman diri. Misalnya dalam ketiga-tiga novel saya itu, kebanyakannya mengisahkan kehidupan remaja seperti di asrama. Karya saya yang masih dalam proses penulisan bertema fantasi dan lebih berat, sesuai untuk lewat remaja dan awal dewasa. Apakah gaya pengkaryaan Alif? Oleh kerana saya bermula sebagai seorang pelukis animasi, saya gemar memasukkan lukisan komik dalam novel saya. Misalnya dalam Rahsia Firdaus, jalan cerita dua bab terakhir novel terbabit, saya sampaikan melalui lukisan komik. Saya lebih berminat membawa tema berunsur pengajaran dan cerita remaja kerana ia dekat dengan saya. Apakah perancangan masa depan Alif dan karya terbaru? Saya dalam proses menyiapkan komik Orang Kuat yang mengisahkan super hero yang berbentuk humor. Insya-Allah, ia akan diterbitkan pada bulan lima dan kini masih diedit. Projek terbaru, saya terbabit dengan kumpulan yang sedang dalam proses menghasilkan cerita bertema fantasi seperti The Lord of The Ring dan akan diterbitkan dalam 99 versi dan kini 25 peratus siap. Kisah ini lebih berat dan sesuai untuk khalayak lewat remaja dan dewasa. Saya bercadang menghasilkan karya lebih baik pada masa depan dan terus bergiat dalam dunia penulisan. Profil: Alif Firdaus Azis Nama Pena: alifstyle Tarikh Lahir: 13 Februari 1984 Tempat Lahir: Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Pendidikan: Institut Kemahiran Mara Petaling Jaya (Kejuruteraan Elektronik HND), Kolej Yayasan Melaka (SPM dan SKM) Pencapaian: Pemenang keempat Lukisan Potret di Balai Seni Lukis Negara (2005), dicalonkan Festival Pelajar Malaysia 2004, Pemenang Peraduan Seni Lukis Conan (2004), Juara Pertandingan Melukis Majalah Din Lawak (1998) dan Juara Pertandingan Melukis Sek Men Bandar Sunway (1998) Karya komik: Novel Grafik Orang Kuat (2006), Umbra (2002-2005), Mato-mato (2003-2005), VCD animasi- Sketsa (2004), Fanzine Megi Itik (2003), Kartun Strip Gila-Gila (1999-2002), Fanzine Bersama Aerol (1999) dan Fanzine Bersama Buck Shot (2002) Penulisan: Rahsia Firdaus (2006), Untuk Syampoo (2006) dan Bergaduh dan Menari (2006) 27 Mei 2006