Saturday, April 21, 2007

Bicara Kartun: Perjalanan Seorang Ujang

Sebut sahaja nama kartunis lagenda ini, ramai orang amat mengenalinya walaupun tidak kenal secara dekat namun kenal dengan karya-karyanya. Sekembalinya ke pangkuan CESB, akan memeriahkan lagu suasana aktiviti kartun dan melalui blognya JIBAM ternyata mendapat sambutan dengan komentar dan kata-kata galakan. Sungguh gamat! dibuatnya. Untuk itu saya petikan apa yang Joejenin komen di blog Jibam.
  1. jonjenin cakap:
    Gravatar

    ‘Rentetan perjalanan seni Ujang…’

    “ The only joy in the world is to begin…” Permulaan karier ujang sebagai kartunis bermula dengan kemunculan karyanya di majalah gila-gila. Lukisan kartun ujang iaitu ‘Hikayat Ujang senang’ merupakan karya yang dibawa oleh beliau ketika berjumpa en. Jaafar taib suatu ketika dulu. Namun begitu ‘Hikayat Ujang Senang’ telah disimpan untuk diperbaiki semula dan pada tahun 1985 ia telah disiarkan. Sentuhan karya ujang seakan-akan mempunyai auranya yang tersendiri.

    Bersama Majalah Gila-Gila (1983-1993). Ujang telah berkarya bersama majalah Gila-Gila hampir 10 tahun (1984-1993). Dia banyak menghasilkan karya-karya yang top semasa bersama majalah Gila-Gila. Sekaligus dia merupakan kartunis paling popular pada masa itu. Di antara karya ciptaan beliau yang sangat popular ialah Aku Budak Minang, Atuk, Jibam, Aca, Intelligent Blues Club (IBC), Usop Sontorian. Selain itu juga dia turut menulis novel iaitu Jibam, Cinta Terakhir, Fiona (tergantung tiada sambungannyer).

    Menubuhkan Majalah UJANG (1994-1997). Pada tahun 1994, Ujang meletak jawatan sebagai ketua kartunis di Majalah Gila-Gila. kemudian Ujang menghasilkan Majalah Lawak Antarabangsa UJANG dibawah penerbitan Kharisma Picture. Majalah ini telah mencungkil banyak bakat-bakat baru seperti Aie, Gayour, Nik, Bawang, Duku, Petai, Lengkuas, Ciku, Sukun dan ramai lagi bakat baru. Majalah ini menggunakan maskot karektor ‘Din Beramboi ‘ yang sebelum ini pernah beliau popularkan di majalah gila-gila sekitar tahun 1992. Din Beramboi menjadi maskot majalah UJANG sekaligus mencetuskan idea lawak yang paling gila dan terbaik di abad ini. Selama bersama majalah UJANG ini, beliau banyak menghasilkan idea-idea terbarunya seperti termuat dalam koleksi DIN BERAMBOI, kaset DIN BERAMBOI, Animasi Usop Sontorian. Setelah terbit hampir 4 tahun, Majalah UJANG telah menjadi majalah lawak No. 1 di Malaysia. Kejayaan majalah ini telah mengegarkan dunia penerbitan komik dan kartun sekaligus menarik minat banyak penerbit untuk menghasilkan pelbagai majalah kartun.

    Ujang Berpisah dengan Kharisma picture Pada tahun penghujung 1997, Ujang meletak jawatan sebagai Pengarah Penerbitan Majalah UJANG, sekaligus keluar daripada Syarikat Kharisma Picture. Secara tidak langsung juga penerbitan Majalah UJANG telah terhenti.

    Ujang kemudian menubuhkan Syarikatnya sendiri iaitu Multi Triple Vision Sdn. Bhd. Dan menerbitkan Majalah Varia Lawak sebagai saluran lawak anda. Bersama Varia lawak Ujang terus menekankan kepada aspek islamik. Ujang menukar Karektor Din Beramboi kepada Pakcik Din. Dimana karektor pakcik Din ini lebih kepada sifat orang tua yang mendidik. Segala sifat riak, bangga diri dibuang daripada karektor Pakcik Din.

    ‘Varia Lawak’ Jadi ‘Lanun’(1998-2000) Namun begitu, di saat majalah Varia Lawak baru bermula merangkak. Ujang sekali lagi terpaksa menukar nama majalah ini kepada Majalah Lanun. Ini kerana Majalah UJANG yang dulunya telah berkubur telah dihidupkan kembali oleh Syarikat Kharisma picture. Dan Majalah UJANG kembali ke pasaran dibawah Penerbitan MOY Publication yang dulunya di kenali Kharisma Picture. Ini bermakna segala watak, karektor dan apa-apa yang berkaitan dengan Majalah UJANG dahulu tidak boleh diterbitkan oleh mana-mana pihak termasuk ujang sendiri kerana segala hakciptanya adalah dibawah label MOY @ Kharisma picture.

    Sekali lagi Ujang terpaksa melupakan nama UJANG, DIN BERAMBOI, PAKCIK DIN, USOP SONTORIAN dan segala karyanya yang terdahulu semasa dibawah Kharisma Picture. Ini bermakna segala usahanya selama ini akan lenyap dan berpindah kepada orang lain. Keadaan ini telah menambah tekanan kepadanya.

    Namun begitu dia tetap meneruskan perjuangannya. Di bawah penerbitan Majalah Lanun, Ujang cuba mencipta sejarah baru. Maka muncul koleksi Kartini, Animasi Kartini (karya Tembakau), dan terbitnya Majalah kaki pancing iaitu Buletin Lubuk di pasaran. Namun begitu di penghujung tahun 2000, negara telah mengalami masalah ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan penerbitan majalah Lanun terhenti dan semua staffnya membawa haluan masing-masing. Dan kartunis Ujang turut hilang entah kemana…kehilangannya menimbulkan banyak persoalan kepada peminat-peminat ujang. Pelbagai pihak cuba mengesan ujang. Namun semuanya menemui jalan buntu bila ujang tidak dapat dikesan.

    Comeback UJANG BUDAK MINANG! Pada tahun 2002, ujang kembali semula ke arena kartun. Kehadirannya di sambut baik oleh semua peminat-peminatnya yang masih merindui karya-karya beliau. Kali pertama muncul ujang tampil dengan majalah Ujang Budak Minang. Disini ujang cuba menjelaskan kepada masyarakat tentang misteri kehilangannya daripada arena kartun. Ujang budak minang merupakan satu konsep majalah yang cuba memenuhi kehendak semua tahap pembaca iaitu dari kanak-kanak hingga ke pada peringkat dewasa. Majalah ujang budak minang ini lebih menggunakan cara-cara psikologi, ilmu jiwa dan spiritual. Namun entah kenapa majalah Ujang Budak Minang hanya sempat menemui pembaca satu keluaran sahaja.

    Majalah Malim Pelita. Pada julai 2002, muncul pula majalah malim pelita di bawah penerbitan arena 2000 Sdn. Bhd dengan kerjasama Triple vision enterprise. Malim pelita ini seakan-akan merupakan satu kesinambungan kepada Majalah ujang budak minang. Ramai kartunis yang turut sama bergandingan dengan ujang bersama majalah malim pelita, antaranya ialah kartunis aie, boy pj, padi, bendi, aedes,eicak, dzun nun,jakall, a’an, soya, lanzent,cron, azam de crow dan kumpulan lalaq. Dibawah penerbitan arena 2000, muncul juga majalah kartun lain seperti Lalaq, Desparedo, aku dan sesuatu, tnt, buletin lubuk, urban comic, kepoh boy. Setelah menemui peminat dalam beberapa keluaran majalah Malim Pelita tiba-tiba diberhentikan penerbitannya.

    Ujang berlakon la pulak. Percaya atau tidak, satu perkara yang membuktikan bahawa bakat ujang bukan pada satu kemahiran sahaja. Ujang boleh dikatakan kartunis berbakat besar dalam semua lapangan seni. Ujang yang sebelum ini pernah muncul dalam filem ‘Yes Tuan’ dan sitcom camni camtu. Kini kembali dengan berlakon dalam telemovie ‘POYO’. Telemovie ini menampilkan juga beberapa kartunis lain seperti boy pj, A’an budak baik, taugeh, soya, cik li, kunyit, dan beberapa kartunis lain. Telemovie ini mengisahkan gelagat beberapa kartunis di bawah satu syarikat penerbitan. Telemovie ini diterbitkan oleh Gala picture.

    Ujang join Majalah g3. Namun begitu kerinduan ujang untuk berkartun terus membuak-buak. Kali ini ujang tampil sebagai kartunis tamu di majalah g3. majalah g3 merupakan majalah humor terbitan karangkraf sdn. Bhd. Majalah g3 dikelolakan oleh kartunis gayour dan beberapa kartunis lain seperti padi, kobis bunga, cactus dan beberapa kartunis lain yang sebelum ini pernah tampil bersama Majalah UJANG. Karya ujang mula menemui peminatnya pada keluaran g3 bermula isu 11 dengan siri kartun realiti g3 buletin lubuk. Setelah muncul untuk beberapa keluaran dalam majalah g3 kartunis ujang kembali kepada Creative Enterprise iaitu penerbit Majalah Gila-gila.

    JIBAM KEMBALI mengganggu hidup anda!!! Setelah sekian lama mengembara dan mengutip banyak pengalaman ujang kembali ke pangkuan gila-gila. Kemunculan ujang dalam majalah gila-gila seakan-akan memberi kekuatan baru kepada Majalah gila-gila. Kehadiran ujang ini turut memberi ruang kepada peminat-peminatnya untuk terus menatap karya-karya ujang. Ujang terus melakar sejarahnya yang tersendiri dengan kemunculan filem JIBAM. Filem JIBAM adalah adaptasi daripada karya novel ujang semasa di bawah penerbitan creative enterprise. Filem JIBAM adalah filem terbitan JAJA production. Untuk mengetahui segala-galanya tentang JIBAM marilah join blog JIBAM ini…. “ There will be a time when you believe everything is finished. That will be the beginning…”

    Nota gusi : Jika terdapat sebarang kesalahan fakta diharap Bro. Ujang dapat membuat pembetulan. ‘Yang buruk datang daripada saya dan yang baik itu daripada ALLAH S.W.T.’

    on April 21st, 2007 at 10:17 am

Friday, April 13, 2007

Bicara Kartun:

Percaya atau tidak, animasi tempatan telah diterima di peringkat antrabangsa? Laporan MCDeC telah pun disiarkan melalui akhbar. Ini menandakan kartun dan animasi sentuhan tempatan tidak kurang hebat, lihatlah anugerah yang diperoleh oleh animasi Saladin. Zainal Buang Hussin, seorang kartunis tersohor (bekas Presiden Pekartun) teah kembali berkarya dengan novel grafiknya, Gundah. Berikut ialah posting Jonos di Ali Ba Ta Duniaku.

Bekas presiden Pekartun iaitu kartunis yang disegani ramai, Haji Zainal Buang Hussein adalah diantara pelopor majalah Gila-Gila terbitan kumpulan Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB) dan banyak menghasilkan ilustrasi kulit majalah tersebut di awal pembabitannya. Beliau juga turut menghasilkan kartun 'Kutu' bagi akhbar Utusan Malaysia untuk beberapa tahun secara bersiri hingga menjadi kompilasi terbaik beliau. Beberapa novel kreatif juga pernah dihasilkannya. Kini, Haji Zainal Buang Hussein bakal kembali beraksi dengan novel grafiknya 'Gundah'. Karya Haji Zainal sudah pastinya dinanti-nantikan peminat dunia kartun tanahair. Lorekan halus disetiap karya hasil tangan Haji Zainal dalam kartun mahupun karikatur buat ramai peminat serta rakan seperjuangan terpegun setiap kali melihatnya. Dari situ dapat dilihat betapa telitinya Haji Zainal apabila menyiapkan sesuatu yang bakal dipertonton kepada pembaca. Selain melukis kartun, karikatur, ilustrasi dan menulis novel, Haji Zainal juga merupakan seorang pelukis catan. Menjengah ke rumah beliau pada pertengahan tahun 2006 membuatkan aku rasa seperti ke sebuah galeri. Di dinding ruang tamu rumahnya dipenuhi lukisan-lukisan yang cukup indah. Bila dihayati ternyata Haji Zainal merupakan seorang yang amat mementingkan kualiti pada setiap karyanya. Tidak hairanlah jika segala hasil kerja Haji Zainal masih diminati, diingati dan digilai hingga kini kerana kualiti dan ketelitiannya. Sama-sama kita nantikan kemunculan 'Gundah' dipasaran kelak.