BICARA KOMIX: MEREALISASIKAN SEBUAH FANTASI BAHAGIAN KETIGA:
Dalam keluaran yang lepas, penulis telah menyentuh beberapa komik-komik yang dihasilkan oleh beberapa nama besar dalam tahun-tahun 70an dan 80an Kemunculan majalah humor Gila-Gila mengganti MAD tidak dinafikan telah mengalih pandangan dan arah pelukis-pelukis komik serious kepada yang lawak jenaka. Jaafar Taib, Azman Yusoff, Mishar dan Zainal Buang Hussein telah menubuhkan syarikat penerbitan Creative Enterprise setelah SUARASA tidak seaktif seperti sebelumnya.
Jaafar Taib cukup sinonim dengan sketsa Kalau nya, sebuah hasil karya lawak tanpa dialog. Pembaca tentu sekali masih ingat lakaran beliau yang bersahaja. Penulis kalau tidak lupa, Gila-Gila keluaran pertama diterbitkan dalm tahun 1978 (ketika itu penulis masih mengganggur). Hiasan kulit diilustrasikan oleh Zainal Buang Hussein. Azman Yusoff pula menghasilkan Lipat-lipat yang diletakkan dibelakang kulit. Memang sekali imbas dilihat, majalah tersebut seperti majalah MAD dengan rupa bentuk maskheadnya, siri KALAU dan Lipat-Lipat. Don pula menghasilkan komik karikatur berdasarkan filem-filem Melayu yang ditayangkan dalam pembikinan waktu itu seperti yang dilakukan oleh majalah MAD. Zainal Osman (Nan) yang terkenal dengan komik stripnya di Utusan Malaysia, Din Teksi pula menghasilkan kartun Ayop Anak Tulakang. Kartun tersebut berkisah seorang usahawan cekodok di kota yang berjaya menjadi usahawan yang multi-billionaire.
Pada peringkat awal Gila-gila ada persaingan yang serupa dikalangan pelukis-pelukis dan kartunis-kartunis seperti Kartekana, Mojo, Nin, Poe, Nawiah Kassim, Yusof Osman (YO), Dinie Jurie, Namron tetapi Gelihati tidak bertahan lama. Penerbitnya lebih menumpukan kepada majalah-majalah komersil, akademik serta hiburan. Bukan sekadar fantasi tetapi dalam dilema mengejar realiti, karyawan-karyawan dahulu telah menyahut seruan kerajaan untuk menaikkan taraf orang-orang Melayu dalam dunia perniagaan. Apa yang digambarkan dalam majalah GG mempunyai mesej yang tersendiri. Tersurat dan tersirat. Allahyarham Rejabhad, bekas seorang tentera RAMD tyang pernah berkhidmat di Congo dengan PBB dimartabatkan sebagai Penghulu GG dan sekaligus Raja Kartun Malaysia, begitu banyak jasanya. Beliau telah ramai mendidik kartunis-kartunis melalui Senyum Skot dan Mekar di GG. Salah seorangnya ialah Cabai, Whitesnake, Ajin (Blackrose), Ujang, Kulat, Ambo, Alifstyle (sekadar menyebut beberapa nama sahaja).
Majalah GG cukup terkenal sehingga pejabat Creative Enterprise setiap musim cuti sekolah dan pusat pengajian tinggi seringkali dikunjungi oleh rombongan dari sekolah dari ceruk-ceruk desa dan bandar. Creative Enterprise membuka pintunya kepada pelawat-pelawat untuk melihat kartunis-kartunis berkerja. Dengan itu peminat-peminat mudah mengenali kartunis-kartunis yang menjadi idola mereka seperti Don, Long, Tarzidi, Ujang, Aloy, Cabai (satu-satunya artis wanita ketika itu), Kulat dan ramai lagi. Gila-gila bukan sahaja berjaya menarik perhatian kaum muda, malah berjaya memikat pembaca yang mempunyai akademik tinggi. Artikel-artikel yang serious walaupun dalam bentuk satira disumbangkan oleh Datuk A. Samad Ismail, Malungun, Prof. Khoo Kay Kim dan lain-lain lagi.
Pada masa yang sama, Creative Enterprise sebagai penerbit komik ulung ketika itu, menerbitkan majalah komik FANTASI. Tidak kerterlaluan jika dikatakan, penerbitan FANTASI ialah untuk memberi peluang kepada ramai pelukis yang agak serious dalam menghasilkan karya bertaraf dunia. Hasilkarya graduan lepasan ITM dan pusat pengajian tinggi ditonjolkan dalam majalah ini meliputi dari komik, teknik airbrush, warna air, minyak, akrilik, seni arca dan termasuk seni hiasan dalaman. Mereka diberi penghormatan yang sewajarnya oleh pihak penebit. Pelukis-pelukis komik yang cukup terkenal di majalah FANTASI ialah Azman Yusoff, Mohas, Jelani Abu Hassan, Ahmad Kamil, Nizam Bachok, Johari Ramli (Pot Jr), Shah, Weman, Jimmy Kong manakala penulis-penulis terdiri dari Adi Al Hadi, Elias Hj. Zaidi dan Muliyadi Mahamod.
Ramai kartunis pernah duduk dibawah bumbung GG dan ramai juga yang membawa haluan masing-masing. Entahlah kenapa, mungkin keadaan pada masa itu mengizinkan mereka membawa haluan masing-masing. Ada yang menubuhkan syarikat sendiri dengan menerbitkan majalah-majalah humor. Persaingan yang sihat, justeru itu lahirnya majalah-majalah humor seperti Batu Api, Mat Jenin, Cabai , Ujang dan lain-lain. Pelukis.kaertunis dan penulis berbakat besar Ujang sendiri ramai mendidik kartunis dibawah syarikat penerbitannya ketika itu, majalah Ujang. Antaranya ialah Aie (yang cukup terkenal dengan Abe dan Blues Untukmu) Duku, Nik, Sukun dan ramai lagi serta diperkuatkan dengan kemasukan Gayour (Gelihati) dalam syarikat tersebut.
Di era tahun 90an, begitu banyak majalah kartun sehingga penulis hendak mencari waima sebuah komik serious pon agak sukar. Majalah RILEKS terbitan Tatsun yang cukup popular dengan komik Lagenda 2000 telah berjaya menambat hati setengah pembaca setelah FANTASI menyepi. Walaupun begitu, RILEKS tidak dapat bertahan lama, penulis kurang arif mengapa RILEKS tidak dapat mempertahankan popularitinya. Barangkali dengan faktor persaingan majalah-majalah humor seperti Lanun, Ujang, APO? atau disebaliknya. Tidak lama selepas itu GEMPAK dari Art Square Creation (Mei 1998) dan UrbanComics dari Urban Revolution pula menjadi trendsetter.
GEMPAK lebih mirip kepada komik lawak ala anime dan Urbancomics lebih kepada komik serious. Penerbitan kedua-dua majalah komik ini memberi satu impak kepada penerbitan komik tanah air. Lahirlah pelukis-pelukis komik dan kartun alaf baru seperti Apoh, Taufan Pesaka, Fakhroul Anour, Kenny, Kaoru, Aimo (Gempak). Azhar, Adijin, Milx, Aim, Kromosom, Joker IX, White, Use Rizal, Zul Fadli, Zul Lee, Mafia, Peenut (Urbancomics) dan ramai lagi. Pada masa yang sama komik-komik seperti Kluangman, Blues Untuk Mu, AIE (Alternatif Indie Entertainment), ROCK, TNT, Chatterz menghasilkan ramai pelukis berbakat seperti Toyon, Tembakau, Aie, MF Ajif, Jackall (penulis tidak berapa ingat nama-nama pelukis dan komik-komik lain, dengan maaf).
Penerbit-penerbit di atas, tidak lupa juga mengadakan pertandingan dan kelas tutorial melukis komik untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baru. Hasinya lahirlah buku-buku koleksi Bakat Baru Komik Malaysia 2002 dan 2003 yang diterbitkan oleh Gempakstarz. Dalam mencari tempat untuk berkarya, pengiat-pengiat muda bukan sahaja dapat menyertai pertandingan dan menghantar karya sekali gus malah mereka boleh menjalinkan diskusi melalui forum-forum yang diadakan di website seperti di http://www.pergh.com/forum/, http://www.sifoo.com/, http://www.deviantart.com/ dan www.urbancomics.com Malah ramai pelukis bebas yang telah beriniasiatif menghasilkan website mereka sendiri untuk mempromosikan hasil karya mereka.
Penerbit komik bebas alternatif UMBRA telah memberi laluan kepada pelukis-pelukis amatur seperti Nurie, Alifstyle, Invictus, Mafia, Iki, Kimball, Odows, Ard-One, Axeral, Petrakus3D dan ramai lagi yang akan muncul. Pergh.com telah begitu besar jasanya, syabas kepada foundernya saudara Mysticmind, co-founder Agent, administrator Azarimy (UK), moderator-moderator Bootargh, Alyridura (pelukis komik ROCK), Ubdertaker, Petrakus3D, Rio dan rakan-rakan sealiran seperti Madstone, Waverider (Mesir), Hairi (Mesir/PTS Millennea One), Adzakael (Australia), Keribang (Sarawak), Icesoul, Alifstyle, Izam, Odows, Kimball, Zedd, Invictus, Gemuruh, Mikestation, Star, Thirtynine, Takara, Tarakucha, Ensalim, Buckshot, Leydi, Angel, Farah, Kiyaa, Jaymanjohn, Chulanmuiz dan penulis-penulis seperti Panaharjuna, Matrush, Madhatter, Ruby dan lain-lain yang tidak disebut. Semoga idea-idea dan hasil diskusi anda sekalian akan mencetus realiti. Biarpun di mana berada, namun satu arah dan satu tujuan. Gathering yang sekejap dikalangan warga pergh pada 31 Ogos di KLCC yang lalu juga menampakkan perkembangan yang sihat apabila ada dikalangan mereka ini mengeluarkan zine-zine mereka sendiri. Maxima Zine, CARGAS, Synthesizer, Core Peeps dan Fusion bakal meledak dipasaran terbuka sekiranya pembaca diluar sana berminat untuk mendapatkannya. Mato-mato, Fantasia, E-zine dan majalah mainstream yang lain sedang berada di pasaran bersaing secara sihat. SOKONGLAH KOMIK MALAYSIA.
Wallah’hualam.
Ubdertaker - Kuala Lumpur / Kalam Timur- Kuala Terengganu
http://www.umbracomix.com/forum/
3 September 2004
No comments:
Post a Comment