Saturday, December 31, 2005

BICARA KOMIX: SATU PERSEPSI

BICARA KOMIX: SATU PERSEPSI BAHAGIAN KEDUA
Kebanjiran komik-komik luar negara terutama yang diimport dari Hong Kong, Jepun mahupun US telah mendorong penulis berfikir sejenak. Apakah fenomena yang berlaku sedemikian rupa? Tidak adakah satu identiti komik tanahair? Jawapan mungkin ya atau mungkin tidak. Lantaran itu penulis tercari-cari jawapan sehingga bulan Jun 2002, penulis kebetulan sedang dan tengah tergila-gila mencari sumber komik tempatan melalui internet. Penulis secara tidak sengaja telah terjumpa alamat http:// www.pergh.com dan http://www.urbancomics.com . Kedua-dua laman tersebut membicarakan aktiviti dan forum komikus-komikus dan para multimedia secara on line. Nampaknya dengan ledakan IT dan internet telah menjadi medium para pelukis-pelukis muda mempamerkan hasil kreativiti mereka secara “comics online”. Suatu platform para penggiat komik mendedahkan hasil karya mereka kepada umum. Namun, penerbitan komik terus berjalan seperti biasa selari dengan arus kebanjiran komik-komik luar negara yang dialihkan ke Bahasa Melayu. Sebut sahaja nama Lat, Jaafar Taib, Azman Yusof, Nan, Imuda, Reggie Lee, Zaharuddin Sarbini, Athool, Zint, Ben, Kaoru, Farhul, Taufan Pesaka, Aie, Maro, Shah, Adijin, Milx, Joker IX, Jackall, Petai, Oren, Lambok, tentu sekali ramai penggemar komik kenal nama-nama ini. Bagaimana nama-nama ini Halim The Alias Kulup, Nik Nordin, R. Hamzah, Sulaiman Masri, Othman Zainuddin, Dini Juri, Jimmy Kong, Marzuki, Maarof Awang, Gopa, Pot Jr, kenalkah pembaca-pembaca akan mereka? Penulis setelah lama meninggalkan kerja-kerja melukis komik. Hampir 30 tahun, penulis hanya memerhati perkembangan komik secara jauh. Apa yang mendorong penulis untuk kembali bergiat dalam bidang ini? Jawapannya ialah untuk melihat kembali martabat komik tanahair meriah kembali. Barangkali pembaca-pembaca mungkin tertanya-tanya siapakah penulis? Beberapa buah komik yang dihasilkan penulis? Jawapanya tidaklah sebanyak mana. Kalau penulis memberikan judul-judul seperti Jaya Satria dan Pendekar Gunung Saga. Tentu sekali para pembaca tidak pernah membacanya. Penulis menghasilkan komik-komik bersaiz kecil tersebut ketika menunggu keputusan peperiksaan MCE/SPM pada tahun 1974. Ketika itu dipasaran harga komik cuma sekitar 50 hingga 60 sen sebuah. Nama-nama besar pelukis komik tempatan ketika itu ialah allahyarham Nik Nordin, Razali MHO atau Rizalman, Azman Yusof, Jaafar Taib, ZOY, Yamin Daud, Khuzae (sekadar menyebut beberapa nama sahaja). Sebut sahaja nama Datuk Lat, Jaafar Taib, Azman Yusof, Nan, Imuda, Reggie Lee, Zaharuddin Sarbini, Athool, Zint, Ben, Kaoru, Farhul, Taufan Pesaka, Aie, Maro, Shah, Adijin, Milx, Joker IX, Jackall, Petai, Oren, Lambok, tentu sekali ramai penggemar komik kenal nama-nama ini. Bagaimana nama-nama ini Halim The Alias Kulup, Nik Nordin, R. Hamzah, Sulaiman Masri, Othman Zainuddin, Dinie Juri, Jimmy Kong, Marzuki, Maarof Awang, Gopa, Pot Jr. Kenalkah pembaca-pembaca akan mereka ini? Bagaimana timbul minat melukis komik? Ketika itu filem dan komik mungkin tidak dapat dipisahkan. Komik ketika itu dijadikan sebagai bahan bacaan dan hiburan ringan selain daripada menonton filem-filem di pawagam. Mungkin pembaca bersetuju atau disebaliknya dengan penulis. Tidak dapat dinafikan, penulis seringkali terpengaruh dengan filem-filem aksi pertarungan dan kungfu dari Hong Kong atau Indonesia. Filem-filem yang hebat dari Indonesia seperti Si Buta Dari Goa Hantu dan sequelnya sebenarnya dihasilkan dari cerita komik oleh pelukisnya Jan Mihardja. Karya-karya lain pelukis ini seperti Iblis Mengamuk Merapi dan Si Mata Siwa yang dibawa masuk oleh Penerbitan Fargoes merupakan siri komik yang paling penulis gemari. Begitu juga, penulis amat meminati komik-komik terbitan Penerbitan Knight yang beroperasi di Kuala Lumpur seperti komik-komik PERKASA (Nik Nordin), Awang Janggut (Razali MHO), Pahlawan Kebal (Mohas) dan Tiada Maaf Bagimu (Azman Yusof). Keempat –empat komik yang diterbitkan dalam saiz kecil itu terbit serentak dalam sebulan. Di belakang komik-komik tersebut terdapat iklan dari penerbit mengkehendaki komik-komik dalam format 40 muka surat. Sementara menanti keputusan peperiksaan, penulis mencari idea melalui pengamatan dan tontonan filem-filem di pawagam. Tidak ada pembelajaran melukis komik secara formal. Tanpa membuang masa, penulis yang tiada pengalaman melukis komik hatta menulis skrip komik pun tidak ada, terus mengambil kertas lukisan dan melakar karekter ke atas kertas. Apa yang ada ketika itu, cuma sebuah idea yang terletak di dalam kotak fikiran. Penulis tidak mencatat apa-apa idea pada kertas. Kedaifan penulis dalam melukis komik ketika itu ialah hasil pengamatan dan buah fikiran sendiri. Jarak, waktu dan tiada kemudahan telefon di rumah ketika itu menyebabkan penulis tidak menghubungi sesiapa yang lebih arif dalam bidang ini. Penulis pernah bercadang untuk ke Kuala Lumpur menimba pengalaman dalam bidang tersebut. Sebagai seorang anak yang patuh kepada ibubapa, niat penulis dipendamkan sahaja. Penulis secara berani telah berjaya menghasilkan komik berdasarkan syok sendiri. Beberapa bulan selepas itu, penulis cukup bangga menunjukkan komik-komik yang diterbitkan itu kepada kawan-kawan dan sanak saudara. Beberapa bayaran yang penulis dapat? Mungkin agak lucu dan ditertawakan kawan-kawan sebab bayaran untuk melukis komik-komik tersebut tidak pernah penulis tengok pun. Pun begitu semangat tidak pernah pudar. Penulis terus melukis dan menghantar karya di beberpa penerbitan namun tiada jawapan penerimaan. Tidak juga dikembalikan komik-komik yang ditolak. Sehingga lah sewaktu ketika GILA-GILA meledak dan laris di pasaran bak goreng pisang panas. Penulis cuba berjinak-jinak menghantar tulisan berbentuk humor di kolum 4 Penjuru Alam di majalah humor tersebut. Penulis amat berbangga apabila tulisan tersebut diterbitkan. Ketika mula menjawat jawatan tetap di Sabah, penulis cuba-cuba melukis kartun dan telah disiarkan di kolum Senyum Skot. Untuk pertama kali, penulis merasa bayaran sebanyak RM15 secara tunai disampaikan oleh Rejabhad yang ketika itu datang ke Sabah untuk mencari lokasi dan ceritanya Panau-Panau Di Sabah. Lantaran kesibukan dengan tugas telah menyebabkan penulis berehat buat 3 dekad dalam penghasilan komik. Alatan dan kertas yang penulis guna untuk menghasilkan komik pada waktu itu mengikut kesesuaian penulis. Memang tiada rujukan atau belajar secara formal dari mana-mana pelukis komik yang hebat. Pendek kata, penulis main belasah sahaja. Pen yang digunakan adalah sejenis fountain pen berjenama Hero dari China. Dakwat melukis pula dari jenis dakwat Cina dan India. Setelah mulai faham konsep melukis komik melalui pengamatan dan pembacaan komik-komik terbitan Suarasa dan Mediaseni, penulis mula mengerti jenis-jenis pen dan berus yang digunakan oleh pelukis-pelukis tersohor. Ketika itu pelukis seperti Suhaimi Salleh sudah pun menggunakan efek transperansi untuk shadowing seperti komik-komik manga sekarang ini. Maka penulis pun menyimpan wang saku untuk belanja sekolah. Tujuannya ialah membeli jenis-jenis pen yang lebih mahal seperti technical pen “Staedler”. Kertas pula dari jenis radio-bond, sejenis kertas taip. Sekarang terdapat beberapa jenis pen melukis yang disposable dan kertas melukis 70 hingga 80 gms dari saiz A4 ke saiz A3. Ketika itu tiada kemudahan komputer dan aksesori lain seperti tablet-pen serta perisian digital yang canggih untuk menghasilkan komik lebih up to date. Tiada lightbox atau kotak cahaya dan alat pengimbas untuk membantu penulis membuat pembaikan dan tracing semula lakaran asal. Kini dengan adanya alatan dan aksesori seperti itu telah banyak membantu pelukis-pelukis komik menghasilkan komik dengan lebih baik. Pelukis-pelukis komik di era digital banyak dibantu dengan perisian Adobe Photoshop, Illustrator, Corel Painter X dan Flash Macromedia. Mampukah penulis kembali mengasah pensel? Yang ada cuma harapan yang disandarkan semoga pengiat-pengiat komik dapat menggunakan segala sumber yang ada untuk meningkat martabat komik tanah air. Wallah’hualam. Kalam Timur Kuala Terengganu 1 September 2004

No comments: