Monday, June 26, 2006

Bicara Komix: Aspirasi dan Inspirasi II

Tidak keterlaluan jika dikatakan pelukis komik mendapat ilham atau idea dari sekitar dan kerangka waktunya (time frame). Jika pelukis komik dan pelukis kartun itu berada di zaman populariti sinema, maka ilham jalan cerita dan karakternya berkisar dengan intipati layar putih. Cerita-cerita berbentuk hikayat, kepahlawanan, peperangan, penyiasatan dan kemasyarakatan menjadi pilihan utama sewaktu sinema dan televisyen skrin hitam putih memainkan peranan. Ketika mendiang Bruce Lee berada di puncak kejayaan, ikon tersebut menjadi ikutan samada di dalam filem, video serta komik dan kartun. Ikon kepahlawanan Indonesia seperti Si Pitung, Jaka Sembung dan lain-lain turut memberi ilham kepada pelukis komik serantau. Ketika filem-filem seram menakluki pawagam-pewagam serantau, komik tempatan dan dari luar tidak berkecuali mendapat tempiasnya. Tokoh-tokoh komik Malaysia/Singapura yang turut menggunakan idea/ilham cerita seram seperti allahyarham A.Rahim B. Tidak ramai yang tahun tokoh bangsawan/teater ini adalah seorang pelukis komik yang prolifik. Saya masih ingat kata-kata SiNaga-Naga (pemilik blog SiNaga Origami), habis tangan hitam selepas baca komik seram A.Rahim B. Ini kerana dakwat hitam cetakan komik tersebut terlekat pada tangannya. A.Rahim B bukan sahaja hebat di atas pentas teater dan sandiwara, malahan cerita komiknya turut sama memberikan impak kepada pembaca. Warna suram dan gelap adalah latar cerita yanng bergenre seram. Kalau filem-filem barat menonjolkan cerita tentang Werewolf iaitu serigala jadian, allahyarham juga mempunyai cerita komik yang lebih kurang sama. Arham atau Raja Hamzah (Raja Komik Malaysia) pun turut mewarnai kegelapan malam dalam genre cerita-cerita seram lewat majalah RINA dalam tahun-tahun 80an. Barangkali ada dikalangan pembaca masaih teringat dengan cerita-cerita komik yang seram bukan? Adakah werewolf dan lycans dari spesies yang sama? Dalam RPG dan wayang werewolf, lycans dan vampire turut menjadi subjek dan tema. Dewasa ini, zaman telah berubah. Permainan melalui talian internet yang puluhan malahan ribuan jenis mudah diakses. Samada dalam bentuk cd, vcd maupun dvd yang canggih yang dibangunkan demikian rupa dalam bentuk animasi 3D. Pelukis-pelukis komik dan kartun boleh sahaja menjadikan permainan online itu sebagai platform untuk menghasilkan cerita komik serta karakter-karakter mereka. (more..) (more..) Oleh yang demikian, berlakulah sekarang jalan cerita komik yang berlatar belakang hikayat, kepahlwanan tempatan tidak lagi mendapat tempat dikalangan pembaca. Yang kita lihat sekarang ini jalan cerita dan karekter kebanyakan berorientasikan nagara matahari terbit. Sayugia, kebanjiran dan kemasukan komik-komik dan anime Jepun bukan sahaja memberi kesan kepada perkembangan komik tanah air, malahan negara jiran Indonesia pun turut merasai tempiasnya.

No comments: